Monday 19 December 2016

Surat untuk buku(-buku)

Sudut di tepi tingkap,
Bilik-2, Rumah hujung sekali,
Pinggir Hutan Tabur
53100 Kuala Lumpur

Aku tahu kamu semua tidak mampu membaca. Walau seluruh kau semua dipenuhi aksara-aksara roman yang manusia mampu baca. Sangat ironik, orang membaca kau tapi kau sendiri tidak boleh membaca. Cubaan yang aku rasakan sia-sia ini aku tetap teruskan. Ya. Aku tidak berlaku adil buat kamu semua. Jadi izinkan aku menerangkan segalanya, agar kamu semua memaafkan aku (dan teguh setia menunggu untuk dipilih aku menjadi peneman seharian)

Kepada generasi awal; tanpa kewujudan kau, aku rasa aku tidak akan minat membaca. Walau kau hanyalah cerita kanak-kanak yang diterjemah ke dalam bahasa melayu, tetapi pengembaraan Jalil, Gopal dan Ah Meng, dengan tagline 'Kami menyiasat apa sahaja' benar-benar menarik minat aku. Sumpah ketika itu aku tidak kenal siapa Alfred Hitchcock. Aku tertanya-tanya juga mengapa nama penulis sebegitu orang putih tapi dalam cerita dalam bahasa melayu. Kau yang berjumlah 15 jilid (ke 18?) kini selamat dalam kotak plastik menunggu hari aku menghabiskan semuanya; kerana sehingga kini masih aku ingat, tidak semua jilid aku baca.

Tidak lupa juga kepada, buku Harry Potter and the Philosopher's Stone. Kau adalah kunci yang membuka pintu hatiku membaca bacaan bahasa inggeris. Tahun-tahun sebelum itu? Haram aku membaca. Aku benci dan aku reject. Entah mengapa aku yang belum 12 tahun ketika itu begitu nasionalis. Tapi kau... Ah, mungkin sebab aku layan movie kau terlebih dahulu sebelum aku membaca kau.

Meningkat usia, aku sudah kurang membaca jenis hikayat dan cereka. Sewaktu aku di Universiti, buku-buku ilmiah dan pemikiran mula membanjiri ruang bilik. Jujurnya, kau yang tergolong dalam generasi ini, maafkan aku. Kau semua adalah cinta on-offku, wahai Generasi Yang-dilupakan. Ku cari, ku jumpa, lalu dilupakan setelah dimiliki. Benar... tiada satupun dari generasimu yang aku habis baca. Mungkin aku meanaktirikan kamu semua dengan 4 jilid Star Wars: Republic Commandos dari Karen Traviss; sebuah hikayat fantasi perang angkasa. Mereka aku habiskan, kerana cerita fantasi lebih mudah dihadam dari bait-bait realiti yang memberatkan jiwa, pemikiran dan kelopak mata. Tapi bergembiralah. Kamu semua tetap aku susun di rak, agar suatu hari nanti aku akan kembali kepada kamu semua

Dan akhir sekali, buat semua yang wujud di era books-booms, yakni Generasi Baru. Kamu semua berjaya aku miliki setelah aku empunya gaji bulanan yang steady. Habis setiap dari kamu yang aku inginkan, aku beli. Gedung-gedung buku adalah tempat mengalir laju fulus berkepala agung. Lagi-lagi sewaktu pesta-pesta di PWTC and MICC. Tapi aku tidak menyesal. Aku sayang dan suka kamu semua. Walau ada diantara kamu yang setia menunggu di sudut yang sama selama bertahun (sehingga bersawang), kamu juga tetap di fikiran. Aku ingin menatap setiap mukamu. Jariku mendamba sentuhan halus dari setiap helaian. Hidungku kepingin aroma lembut dari pulpa kertas (yang ada kalanya bercampur plastik). Aku juga tidak bersabar... Tapi setiap darimu ada giliran.

Aku tahu ada diantara kamu yang cemburu dengan beberapa buku baru. Baru sahaja dibeli, sudah dihabiskan. Baru sahaja dibeli, sudah dibawa ke pejabat sebagai peneman waktu segang.  Baru sahaja dibeli, sudah berdua-duaan bersamaku semasa makan. Bukan aku tidak mahu tapi aku fikir ia satu yang tidak praktikal jika aku lakukan perkara yang sama. Badan kamu semua besar. Kulit kamu semua begitu majestic bersama helaian warna HD! Aku tidak boleh bayangkan yang aku mengheret kau (sebagai contoh Gordon Ramsay's Ultimate Cookery Course; sebab dia buku yang paling besar yang terdekat dengan aku sekarang) ke tempat kerja, ke Pejabat Pos atau di dalam LRT. Kamu semua perlukan elemen yang ketiga untuk bersamaku. Waktu segang yang benar-benar kosong tanpa gangguan. Apa yang terkandung dalam dirimu itu tidak ternilai dan memerlukan perhatian penuh.

Akhir kata, maafkan aku wahai semua. Giliran kamu pasti akan sampai. Jika tidak aku menghabiskan kamu, akan ku sekurang-kurangnya selak apa yang terkandung. Ini janjiku menghadapi tahun baru...

Apa? Kau semua katakan yang aku masih tidak adil? Ada sebuah buku yang sudah sekian lama menjadi teman kamarku sehingga lunyai? Apakah yang dimaksudkan itu buku Write Like The Masters dari William Cane? Ya, itu adalah preferiti aku dan aku masih belum puas dengannya.



Bukan Tuan Ihsan tapi tuan pemilik kamu,
Simon Malik


@BookendsMY #TulisSurat5Hari

No comments:

Post a Comment