Thursday 22 December 2016

Surat untuk Pencuri

 Melawati
Kuala Lumpur

Kalau kau dapat surat ni, ternyata dalam jiwa kau wujud rasa curiga mengapa terdapatnya sehelai nota di bawah benda yang kau bakal curi.

Aku jenis orang yang jarang dicuri barang. Jika hilang biasanya aku akan katakan kealpaan dan sifatku yang cepat pelupa. Jika dicuri sekalipun, aku akan katakan tu bukan rezeki aku lagi untuk bersama barang tersebut. Mungkin ada hak orang yang tidak aku tunaikan, maka aku dihukum dicuri barang. Maka kejadian kasut Adidas bertapak Dunlopp yang aku beli di Uptown Shah Alam yang dirembat di sebuah masjid itu aku anggap sebagai dua peringatan Tuhan kepadaku; ada hak orang lain yang aku tidak tunaikan dan siapa suruh aku pakai kasut lawa ke masjid.

Ini bukan bermaksud kau boleh curi barang yang kau niat untuk curi sebentar lagi.

Aku sebenarnya tertanya-tanya apa niat kau untuk mencuri benda ini? Ia suatu yang tidak logik. Kau curi mangga padlock aku tanpa kuncinya. Dan kau curi dua kali! Aku sangkakan ia sebuah kecuaian dariku. Namun selepas lenyapnya mangga padlock yang kedua, hatiku baran tidak terkata. Mengapa kau cuti mangga padlock rumahku? Kau tak sedar ke yang kau menyusahkan aku? Aku terpaksa pergi ke kedai hardware untuk membeli mangga ganti yang kau curi, lepas tu kau senang-senang je curi lagi?

Mungkin kau curi sebagai sebuah peringatan. Jika berada di rumah, kunci dan selak segalanya. Bukan membiarkan mangga padlock di tepi tingkap. Aku terpaksa mengucapkan terima kasih kerana aku terpaksa membudayakan mangga dan selak keseluruhannya bila aku berada di rumah.

Tapi baranku masih meluap.

Jadi jika kau hendak mencuri mangga yang ketiga ini dan kau terbaca nota dibawahnya, ingatlah! Mangga ini bakal menjadi faktor tertangkapnya kau oleh tanganku. Kau tidak percaya? Cubalah curi! Akan ku hantui kau dari segenap sudut, lalu telinga kau sentiasa akan mendengar lagu Pulangkan nyanyian Misha Omar. Sebab bila ketiga, ia sudah menjadi dendam!

Yang marah dan tak faham logik kau,
Simon Malik

@BookendsMY #TulisSurat5Hari

No comments:

Post a Comment