Tuesday 20 December 2016

Surat untuk masa depan

Ke hadapan diriku yang sudah menambah angka 30 dari tarikh surat ini di tulis. Ini masa silam kau hendak menegur sapa, bertukar kata.

Bagaimana hidupmu sekarang? Indah? Sudah tercapai apa yang di hajati? Sudah menjadi apa yang diimpikan? Aku harapkan baik-baik sahaja wahai diriku. Kita tahu benar yang sepanjang kita hidup, kita sentiasa terlepas akan apa yang kita hajati

Dari menjadi seorang penulis full time sehingga seorang yang mengusahakan food truck, aku harap salah satu yang kau tulis di dalam nota Evernote itu kau telah lakukan sungguh-sungguh dan direalisasikan. Di kala ini aku belum mencecah umur 30. Kereta dan rumah masih belum aku ada sendiri. Satu-satunya harta yang benar-benar milik kau pada saat ini adalah Laptop Lenovo (beli sebulan sebelum ada GST), DSLR D90 ( Pakai bajet kahwin tak jadi kau) dan Iphone 6S ( baru je habis bayar bulan ni). Tidak lupa juga akan buku-buku yang kita beli. Aku harap tiada yang hilang dan rosak. Buku ayah dari tahun 1967 masih ada? Jika masih ada, aku harap kau sudah habis membacanya. Bukankah itu saah satu projek mega yang kita susun?

Kau tahu benar bukan, kita jenis manusia yang cermat mengguna dan menyimpan barang. Jika kau masih simpan kole magis dan kalkulator saintifik yang kita beli sebelum SPM, aku memang nak peluk cium kau sekarang.

Aku tidak tahu apa yang kau alami sekarang. Mungkin baik. Mungkin tidak berapa baik. Mungkin kau hanya melata pada runtuhan harapan yang sedang aku bina atau mungkin kau sedang mengibar tinggi panji kemegahan di puncak jaya. Walau apa pun keadaan, ingin juga aku berpesan beberapa perkara agar kau tidak lupa siapa diri kau.

Kau adalah insan yang sentiasa terlepas akan impian yang kau hajati. Sejak Form 3 lagi. Satu persatu yang kita harapkan tidak pernah berlaku. Jika apa yang kita bina tidak kita perolehi, nescaya itu bukan terbaik untuk kita. Tak dapat masuk asrama, tak dapat kahwin dengan Si Dia, tak dapat kerja dengan sponsor kau, tak dapat naik pangkat dalam bidang yang kau ceburi etc etc. Terimalah dengan redha apa yang kau ada sekarang. Ingatlah, setiap satu yang kita terima sebagai galang ganti impian yang terlepas itu, merupakan tailor made untuk diri kau oleh Sang Pencinta. Dia lebih kenal akan diri kau luar dan dalam. Ya, sudah beratus kali kita menipu diri sendiri. Dia tetap kenal kau. Itu yang terbaik untuk kau

Ingat juga mereka yang sentiasa berada di sisi kau. Aku tahu mereka tidak sempurna, tapi percayalah, kehadiran merekalah yang membuatkan kita untuk terus bersemangat dan waras. Maafkan kesalahan mereka. Mereka juga manusia seperti kau. Jangan biarkan penyesalan yang kita lakukan dulu berulang lagi.

Jika kau kini sedang bersantai, memetik hasil ranum dari perancangan projek mega kita, aku ucapkan tahniah. Tepuk bahumu sekarang, kerana ia merupakan janji tuhan buat mereka yang berusaha.

Akhir kata, senyumlah walau apa jua kau alami sekarang. Keep on rockin' in whatever you do!

(This is not the best conjure, i know! Aku harap gaya penulisan kau tak kekal macam ni ye?)

Diri kau 30 tahun dulu,
Simon Malik
21 December 2016    



@BookendsMY #TulisSurat5Hari

No comments:

Post a Comment